20121025

Aidiladha

Labbaikallahumma Labbaik
labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innalhamda Wan Ni'mata
Laka Wal Mulk
Laa Syarikalak

Aku memenuhi panggilan-Mu Ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu.
Aku memenuhi panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu, aku memenuhi panggilan-Mu.
Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milik-Mu, begitu juga kerajaan tiaadaa sekutu bagi-Mu.

Apakah korban terbesar kita pada tahun ini?

I wish I was there again. :')

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha bagi umat Islam di seluruh dunia. Semoga ibadah korban kita diterima Allah SWT.

Buat ayah yang berada di Kota Mekah menunaikan fardhu haji, semoga segala urusan dipermudahkan dan mendapat haji yang mabrur. Aminn. :)

20121016

Warna Warni Kehidupan

Pernah atau tidak dalam kehidupan seharian, kita mengeluarkan kata-kata sebegini,

"Aku tak suka dia, sebab dia . . . . . . . "

"Aku geram dengan dia, sebab dia  . . . . . . . "

"Aku tak nak kawan dengan dia, sebab dia . . . . . . . "

Kenapa kita memarahi dan menjatuhkan hukum kepada orang secara sesuka hati?

Mungkin, kita terlepas kata. Walau kita tak terniat sebenarnya. Kita memarahi dan menjatuhkan hukum pada seseorang tanpa sebarang usul periksa. Apa yang kita fikirkan hanya tentang diri kita sahaja. Kita hanya utamakan perasaan kita. Kita mengeluh. Lantas, kita mengeluarkan kata-kata yang hanya dapat memuaskan hati dan perasaan kita tanpa memikirkan perasaan dan kesannya pada orang lain.

Mengapa kita tidak berfikir sebelum berkata-kata?
Mengapa kita tidak bermuhasabah diri sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman?
Mengapa kita tidak menasihati seseorang sebelum memarahinya?

Manusia akan memuaskan hati dan perasaan mereka sendiri.
Itu lumrah.
Kemudian, baru meraka berfikir dan bermuhasabah mengenai apa yang telah dilakukannya.
Kita mungkin terlupa, pada waktu dan saat itu, Allah sedang menguji keimanan dan kesabaran kita.

Ujian adalah warna-warni kehidupan kita. Kehidupan, yang ada turun dan naiknya. Yang ada drama dan ragamnya. Yang ada warna dan warninya. Jika hitam kita mencoraknya, maka hitamlah. Jika pelangi kita mencoraknya, maka pelangilah. Jadi, warna-warni inilah yang mencorakkan serta mengindahkan lagi kehidupan kita.

Kadang-kadang, orang yang kita tak suka itu adalah sahabat yang paling baik untuk kita. Janganlah kita mengeluh terhadap sebarang ujian yang diberikan. Didiklah hati agar menerima ujian dengan redha dan terbuka.

20120730

Umrah #Part |||

Sembilan hari di Makkah tidak terasa lamanya. Kemudian, kamu meneruskan perjalanan ke Kota Madinah. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepad Al Madhinah Al Munawwarah yang bermaksud kota cahaya.

Perjalanan dari Kota Makkah ke Kota Madinah mengambil masa selama 8 jam dengan menaiki bas. Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Madinah mendekatkan diri kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang amat dikasihi dan dicintai. Kota Madinah begitu aman, damai dan tenteram. Bandarnya yang bersih dan kurang sibuk.

Apabila memasuki Masjid Nabawi, hati begiu syahdu sekali, terasa dekat dengan Nabi Muhammad SAW. Di Masjid Nabawi, pintu masuk ke dalam masjid adalah berasingan antara kaum Adam dan kaum Hawa. Tempat solat juga berasingan. Bagi kaum Hawa, segala peralatan seperti kamera atau telefon bimbit yang mempunyai kamera adalah dilarang sama sekali untuk dibawa ke dalam masjid. Petugas masjid akan menjalankan tugas mereka bagi memastikan tiada gajet yang terlepas masuk ke dalam masjid.

Antara tempat mustajab untuk berdoa di Madinah adalah Raudhah. Melawat Raudhah dan memberi salam serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW menginsafkan kita umat baginda yang begitu kerdil sekali.

Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, 
"Diantara rumahku dan mimbarku adalah sebahagian Taman Syurga".
Kawasan di dalam Raudhah kecil sahaja. Apa yang membezakan adalah apabila kaki anda menyentuh karpet berwarna hijau, itu bermakna anda telah berada di dalam Raudhah. Bagi kaum Hawa, terdapat masa-masa yang diperuntukkan sahaja untuk memasuki Raudhah. Perasaan berada di dalam Raudhah amat sukar digambarkan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa indahnya berada di Taman Syurga itu. 



Semoga ini bukanlah kali terakhir aku menjejakkan kaki ke sini. Jika diberikan peluang dan rezeki InsyaAllah aku akan ke sini lagi. Semoga kita semua diberi rezeki dan peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah dan Haji. Semoga mendapat Umrah dan Haji yang mabrur. 

20120729

Umrah #Part ||

Entri kali ini adalah entri bergambar, di mana tempat-tempat yang aku lawati sewaktu berada di Kota Makkah Al-Mukarramah. Selamat manjamu mata. :)

1. Jabal Nur / Gua Hira'




Jabal Nur atau Bukit Cahaya di mana terletaknya Gua Hira' yang menjadi tempat persembunyian Nabi Muhammad SAW sehingga mendapat wahyu yang pertama. Perjalanan untuk naik ke puncak Gua Hira' ini mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk orang yang tak fit seperti aku. Banyak checkpoint yang disediakan bagi memudahkan pendaki berehat untuk meneruskan perjalanan. Di puncak Jabal Nur ini, ada menjual tasbih dan alatan ibadah serta air bagi menghilangkan rasa dahaga. 

Untuk ke Gua Hira', perlulah menuruni sedikit bukit yang agak curam. Di dalam Gua Hira' tidaklah sebesar mana. Hanya muat untuk 2 atau 3 orang sahaja. Anda boleh bayangkan, pengorbanan Siti Khadijah yang menaiki Jabal Nur yang tinggi lagi curam pada setiap hari untuk menghantar bekalan makanan buat suami tercinta.

2. Jabal Rahmah


Jabal Rahmah berada di Padang Arafah. Sesuai dengan namanya Jabal bererti bukit atau gunung dan Rahmah bermakna kasih sayang. Jabal Rahmah merupakan tempat pertemuan Nabi Adam AS dan isterinya Hawa selepas berpisah dari syurga. Tempat ini dikatakan tempat yang mustajab berdoa untuk memohon atau memanjangkan jodoh. 

3. Ladang Unta


Bagi yang mahu melihat unta, bolehlah ke Ladang Unta Hudaibiyah. Terdapat banyak unta di sini. Jangan melepaskan peluang anda untuk merasai susu unta segar yang baru sahaja diperah. 

4. Masjid Hudaibiyah

 

Hudaibiyah merupakan lokasi para sahabat Rasulullah SAW melakukan bai'ah (janji taat setia) kepada Rasulullah SAW untuk memerangi kafir Quraisy. Perjanjian itu dikenali sebangai "Perjanjian Damai Hudaibiyah".
Isi Perjanjian Hudaibiyah:
- Gencatan senjata selama sepuluh tahun
- Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya dan tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.
- Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.
- Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.
- Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
- Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan

5. Exhibition Of The Two Holy Mosques Architecture 

Mesin Jahit Kelambu Kaabah

Well Of Zamzam

Sini seperti muzium dimana barang-barang dan gambar-gambar lama daripada dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.


Entri seterusnya di Madinah pula. Selamat membaca. :)

20120728

Umrah #Part |

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Aku nak kongsi pengalaman ini sudah sekian lama, namun aku tak tahu macam mana nak memulakan cerita. Setelah sebulan berlalu, di sini aku kongsikan detik-detik indah dan bermakna sepanjang aku berada di Tanah Suci.

Perjalanan dari Malaysia ke Lapangan Terbang Jeddah mengambil masa selama 9 jam tidaklah berasa begitu lama. Sama seperti insan yang  lain, perasaan bercampur baur untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Pertama kali untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci menyebabkan aku diselubungi rasa takut, gemuruh dan berdebar-debar. Mungkin perasaan itu hadir disebabkan terlalu banyak membaca dan mendengar kisah-kisah benar individu yang pantas menerima dugaan dan mendapat balasan Allah atas kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah sepanjang berada di tanah suci, aku dikurniakan kesihatan yang baik dan sempurna serta kekuatan untuk malakukan ibadah walaupun cuaca amat panas di sana yang hampir mencecah kepada 50'C. Memang hari-hari akan cari minuman sejuk setiap kali balik dari masjid, namun aku make sure agar aku minum air zam zam dengan begitu banyaknya setiap kali usai solat.

Air zam zam mempunyai banyak kelebihan dan khasiat seperti sabda Nabi Muhammad SAW,
 "Air terbaik di muka bumi adalah air zam zam."


Daripada Lapangan Terbang Jeddah, aku menaiki bas terus ke Makkah Al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah. Oleh kerana waktu di Makkah lewat 5 jam dari Malaysia, jadinya waktu siang yang aku alami pada hari itu adalah panjang. Bertolak dari Malaysia masih waktu siang dan sampai di Jeddah juga masih siang. Sesampainya di Makkah, kami terus melakukan ibadah umrah. Perasaan pertama kali melihat Kaabah tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Subhanallah, maha suci Allah yang memberikan perasaan tersebut.

Umrah juga dipanggil 'Haji Kecil' yang bererti  mengunjungi Kaabah dan melakukan ibadah yang terdiri daripada niat, ihram, tawaf, saie dan bertahallul. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Niat Ihram hanya boleh dilakukan di Miqat sahaja. Selain berihram, jemaah perlu mengerjakan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, diikuti dengan saie sebanyak tujuh kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah  kemudian diakhiri dengan bertahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai bagi menandakan bebas daripada Ihram.


Aku kongsi satu cerita yang terjadi di dalam Hijir Ismail. Hijir Ismail merupakan salah satu tempat mustajab untuk berdoa. Solat di Hijir Ismail sama seperti solat di dalam Kaabah. Orang Islam dari seluruh pelusuk dunia akan mengambil peluang untuk menunaikan solat di dalamnya. Jika ada sahaja tempat kosong, terus masuk dan lantas menunaikan solat. Apa yang ingin aku kongsikan, ada seorang pakcik yang menunaikan solat di Hijir Ismail itu dalam keadaan yang sangat tenang tanpa gangguan orang lain. Walaupun orang berebut-rebut nak masuk ke kawasan tersebut tetapi tak ada sesiapa yang pergi ke arah pakcik tersebut dan pakcik tersebut dapat menyelesaikan solatnya dengan begitu tenang. Subanallah.


Begitulah cerita pada hari pertama, InsyaAllah aku akan sambung pengalaman ini pada entri yang seterusnya. :)

20120509

Tips Ke Pulau

Di sini ada beberapa barang yang perlu untuk anda sediakan untuk ke pulau.


1. Selipar
Tak payah nak pakai kasut bertutup ke, kasut tumit tinggi ke dan segala jenis kasut untuk ke pulau. Kalau anda pakai kasut bertutup, nanti kasut kena air habis basah dan berat. Kalau anda seorang yang bergaya sangat sampai nak pi pulau pun pakai kasut tumit tinggi, kalau tumit tu terbenam dalam pasir, memang kena gelak jawabnya. Jadi, pakailah selipar yang ringan dan mudah untuk dibawa.


2. Pakaian
Bawa pakaian yang nipis dan serap peluh. Pakaian tak payah bawa banyak-banyak, buat berat bag je. Anda boleh tentukan berapa hari anda akan berada di pulau dan bajet untuk pakaian. Agak-agak aje.


3. Backpack
Ini bag yang senang dan mudah dibawa. Sumbat je lah berapa banyak pun baju yang anda mahu bawa. Tak perlulah nak bawa bag troli roda-roda tu. Memang nampak mudah sebab tinggal tarik je, tak payah nak angkat berat-berat, tapi bila atas pasir, boleh ke roda tu bergerak? Nak tak nak kenalah angkat juga kan. Jadi, better berbackpack sahaja.


4. Waterproof Bag
Bag ini juga penting untuk anda menyimpan barang-barang berharga seperti wallet, telefon bimbit, camera, duit dan sebagainya. Sekiranya jatuh ke dalam air pun, tak adalah risau barang akan rosak. Dah nama pun kalis air, mestilah tak akan ada air yang boleh masuk menerusinya. Dan ia tidak akan tenggelam jika terjatuh di lautan yang meluas.


5. Cermin Mata Hitam
Seperti yang kita semua sedia maklum, cuaca panas. Jadi, anda digalakkan untuk memakai cermin mata bagi menahan panahan silau cahaya matahari. Kalau tak nak pakai pun boleh, nak pakai pun boleh. Terpulang pada anda. Tapi nanti nak main beach volleyball tak boleh sebab tak nampak bola. Yang nampak hanyalah cahaya matahari.


6. Sunblock
Ini juga adalah salah satu protection kepada kulit kita. Tapi ini pun terpulang pada anda. Macam aku hari tu tak pakai pun. Tak adalah burn sangat pun. Seminggu dua hilanglah dia. Tapi sebenarnya, bahan dalam sunblock ni tak elok, kerana ia akan memusnahkan hidupan laut. Kalau nak pakai pun sikit-sikit okay la.


7. Waterproof Camera
Ini sangat penting untuk mengambil gambar di dasar laut. Kalau camera biasa memang tak boleh bawa masuk air, jahanam nanti. Kalau anda yang memang gemarkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan air, saya syorkan anda membeli waterproof camera. Bukan senang nak tengok haiwan dan tumbuhan dalam air kan. Jadi, abadikan memori itu dalam camera anda.

8. Bola & Boomerang
Yang ini anda boleh bawa sendiri dari rumah. Bagi yang nak main beach volleyball, boleh lah bawa bolanya yang tersendiri. Macam boomerang tu ada dijual di kedai-kedai di jeti. Petang-petang di pulau, bolehlah beriadah sekali. Majulah sukan untuk negara.

9. Pario
Boleh juga dibawa kalau mahu merasa seperti artis dengan kain terbang-terbang ditiup angin pantai. Wahh gittew!

10. Roti
Bawa bekalan roti lebih untuk memberi makan kepada ikan. Nescaya, ikan-ikan semua akan mengerumuni anda. Jangan takut untuk memberi makan kepada ikan, ikan tak akan gigit, cuma dia akan cium-cium tangan anda sahaja. Tapi berhati-hati jika ada ikan besar yang datang, silap-silap boleh kena gigit.


Sekian sahaja tips ke pulau. Kalau ada apa-apa yang penting lagi, bolehlah tambah. Selamat bercuti. :)

Pulau Perhentian, Terengganu


Hai, disebabkan lama tak update apa-apa dekat blog ni, jadi aku akan kongsi laju-laju semua cerita.

Sebenarnya, kami telah meluangkan masa yang ada untuk bercuti bersama di Pulau Perhentian. Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Perhantian merupakan pulau yang keempat tercantik di Malaysia. Dan ini merupakan kali pertama aku ke pulau. Ok, booo me.

Trip ini telah di plan awal sebenarnya sebab nak booking pakej yang ada. Nanti kalau buat last minute takut chalet semua full booked, takkan nak pasang khemah tepi pantai pulak kan. Walaupun date yang dirancang itu ditukar banyak kali, sebab bukan senang nak kumpul semua orang dan pastikan tak ada apa-apa benda penting pada hari tersebut, namun apa yang dirancang berjaya akhirnya.

Kami memulakan perjalanan dengan menaiki bas pada jam 8.30 malam dan dijangka sampai pada awal subuh iaitu jam 5.30 ke 6 pagi. 9 jam dalam bas, can you imagine that? Sebenarnya, kami tak pernah naik bas untuk jangka masa perjalanan yang lama. Mungkin tak biasa. Sebab itu rasa tak selesa.

Bot akan bergerak ke pulau pada jam 8.30 pagi. Dari Jeti Kuala Besut ke pulau, akan mengambil masa selama 45 minit. Pertama kali tengok laut biru, macam kaca memang tersangatlah teruja. Cantik sangat. Terdapat dua pulau di perhentian iaitu Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Untuk anda yang inginkan hiburan happening, bolehlah stay di Perhentian Kecil yang menawarkan hiburan dan sebagainya. Perhentian Besar lebih kepada untuk anda yang mahukan ketenangan abadi. Chewah!

Macam dalam google kan, ini aku capture sendiri okay.
Kami stay di Fauna Chalet. Untuk pakej ini, we had 3 snorkeling sessions. First day tu kami dibawa ke Long Beach, Tiga Wan, Teluk Pauh, Shark Point and Air Berani. Tapi aku kecewa sebab tak nampak shark pun. Padahal kawan-kawan yang lain nampak. Tapi kekecewaan itu hilang apabila dapat jumpa penyu. Sangatlah teruja sebab tengok penyu tenggelam timbul depan mata. Snorkeling guide kata, jika kita mandi menggunakan Air Berani, maka akan beranilah kita selepas itu. Mungkin boatman siram Air Berani dekat enjin bot supaya enjin itu jadi berani. Eh?

Shark yang sempat di'snap' oleh Abang Kid
Pendekar Penyu
Second day, we went to Redang Island dan bersnokeling di sana. Dan patutnya, kami ke Lang Tengah. Memandangkan cuaca tidak mengizinkan, kami tidak ke sana atas sebab keselamatan. Balik daripada snorkeling, pekena burger daging yang berharga RM5, walaupun ia hanyalah burger kosong.

Christmas Tree at Redang Island
Special thanks to Abang Amin, Abang Wan, Abang Kid, Abang Bidin, Magnet, Zharif, Kak Ina, Kak Obie, Hazie, Umi, Hanum and Fatin for the trip. Semoga kita akan berjumpa lagi pada trip yang akan datang.

Bila di pulau, haruslah untuk bergambar seperti ini hikhikhik
Sekian sahaja, entri seterusnya saya akan kongsikan tips-tips ke pulau.