20120728

Umrah #Part |

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Aku nak kongsi pengalaman ini sudah sekian lama, namun aku tak tahu macam mana nak memulakan cerita. Setelah sebulan berlalu, di sini aku kongsikan detik-detik indah dan bermakna sepanjang aku berada di Tanah Suci.

Perjalanan dari Malaysia ke Lapangan Terbang Jeddah mengambil masa selama 9 jam tidaklah berasa begitu lama. Sama seperti insan yang  lain, perasaan bercampur baur untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Pertama kali untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci menyebabkan aku diselubungi rasa takut, gemuruh dan berdebar-debar. Mungkin perasaan itu hadir disebabkan terlalu banyak membaca dan mendengar kisah-kisah benar individu yang pantas menerima dugaan dan mendapat balasan Allah atas kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah sepanjang berada di tanah suci, aku dikurniakan kesihatan yang baik dan sempurna serta kekuatan untuk malakukan ibadah walaupun cuaca amat panas di sana yang hampir mencecah kepada 50'C. Memang hari-hari akan cari minuman sejuk setiap kali balik dari masjid, namun aku make sure agar aku minum air zam zam dengan begitu banyaknya setiap kali usai solat.

Air zam zam mempunyai banyak kelebihan dan khasiat seperti sabda Nabi Muhammad SAW,
 "Air terbaik di muka bumi adalah air zam zam."


Daripada Lapangan Terbang Jeddah, aku menaiki bas terus ke Makkah Al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah. Oleh kerana waktu di Makkah lewat 5 jam dari Malaysia, jadinya waktu siang yang aku alami pada hari itu adalah panjang. Bertolak dari Malaysia masih waktu siang dan sampai di Jeddah juga masih siang. Sesampainya di Makkah, kami terus melakukan ibadah umrah. Perasaan pertama kali melihat Kaabah tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Subhanallah, maha suci Allah yang memberikan perasaan tersebut.

Umrah juga dipanggil 'Haji Kecil' yang bererti  mengunjungi Kaabah dan melakukan ibadah yang terdiri daripada niat, ihram, tawaf, saie dan bertahallul. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Niat Ihram hanya boleh dilakukan di Miqat sahaja. Selain berihram, jemaah perlu mengerjakan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, diikuti dengan saie sebanyak tujuh kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah  kemudian diakhiri dengan bertahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai bagi menandakan bebas daripada Ihram.


Aku kongsi satu cerita yang terjadi di dalam Hijir Ismail. Hijir Ismail merupakan salah satu tempat mustajab untuk berdoa. Solat di Hijir Ismail sama seperti solat di dalam Kaabah. Orang Islam dari seluruh pelusuk dunia akan mengambil peluang untuk menunaikan solat di dalamnya. Jika ada sahaja tempat kosong, terus masuk dan lantas menunaikan solat. Apa yang ingin aku kongsikan, ada seorang pakcik yang menunaikan solat di Hijir Ismail itu dalam keadaan yang sangat tenang tanpa gangguan orang lain. Walaupun orang berebut-rebut nak masuk ke kawasan tersebut tetapi tak ada sesiapa yang pergi ke arah pakcik tersebut dan pakcik tersebut dapat menyelesaikan solatnya dengan begitu tenang. Subanallah.


Begitulah cerita pada hari pertama, InsyaAllah aku akan sambung pengalaman ini pada entri yang seterusnya. :)

No comments: