20120215

Diari Sekolah #2

Menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah sebenarnya. Ibu bapa memberi harapan yang besar kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Menjadi seorang guru pendidikan khas yang mengajar dan mendidik murid-murid istimewa amatlah memerlukan kesabaran yang sangat tinggi untuk melayan pelbagai karenah dan perangai mereka.

Kadang-kadang, kita marah mereka walau macam mana sekali pun, mereka hanya akan memandang kita sambil tersenyum. Perasaan marah itu akan hilang secara tiba-tiba dan akhirnya membuatkan kita tersenyum sendiri. Apatah lagi, bila murid itu comel dan membuatkan kita tidak sampai hati untuk meneruskan kemarahan yang membara dalam diri.

Kadang-kadang, kita berasa geram dengan murid sekiranya apa yang kita ajar selama ini tak pernah diingatnya. Sebulan dan adakalanya mencecah sehingga setahun mengajar ABC sahaja dan itu pun tak semua yang boleh mengingatnya dengan betul. Berulang-ulanglah kita mengajarnya sampai naik bosan.

Kadang-kadang, kita rasa nak pukul saja murid yang hari-hari datang sekolah menangis melalak-lalak sebab tak mahu pergi sekolah. Dari mula sesi persekolahan sehingga tamat waktu persekolahan masih menangis dan tak mahu buat apa-apa aktiviti yang disediakan oleh guru. Mendidih dalam hati, hanya tak terluah. Geram, tak terkata.

Bagaimana nak handle murid-murid sebegini?

Bila menjadi guru pendidikan khas, aku merasakan bahawa tahap kesabaran diri semakin meningkat. Hanya sabar, sabar dan sabar. Kita ditugaskan untuk mendidik mereka. Jika kita ikhlas, InsyaAllah ada ganjaran untuk kita.

Mereka bukan normal seperti kita, mereka ialah ahli syurga. :)

No comments: